ZAKAT
 Firman Allah Taala:


 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَءَاتُوا الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ.

"Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan apa jua yang kamu kerjakan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan."(Ayat 110, Surah al-Baqarah.)

 
Takrif Zakat dan Hikmatnya

Kalimah "zakat" dalam bahasa Arab - antara lain - bermakna: "Bersih suci" dan "kembang subur", yang maksudnya: "membersihkan" dan "mengembangkan".


Menurut istilah syarak pula, zakat ialah: "Nama bagi bahagian yang tertentu dari harta yang tertentu, yang wajib diberikan kepada orang-orang yang tertentu, dengan syarat-syaratnya."(1)


Pengertian kalimah zakat sesuai pula dengan tujuan dan hikmatnya zakat itu disyariatkan.  Hakikat ini diterangkan oleh Allah Taala dengan jelasnya di dalam al-Qur'an:


خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا..

"Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengan itu engkau bersihkan mereka (dari dosa) dan engkau sucikan mereka (dari akhlak yang buruk) .." (2)


Dengan ini nyatalah bahawa tujuan atau hikmah zakat itu diwajibkan ialah untuk membersihkan orang-orang kaya dan perasaan bakhil kedekut dan membersihkan orang-orang fakir miskin dan perasaan dendam dan hasad dengki terhadap orang-orang yang hidup mewah.  Malah untuk membersihkan masyarakat umumnya, dari segala kekacauan dan huru-hara yang akan timbul dan golongan yang tidak puas hati yang merasa dirinya tidak mendapat pembelaan.


Jelasnya, tujuan amalan zakat ialah untuk membentuk masyarakat adil.  Golongan yang senang menolong golongan yang susah dan sebaliknya golongan yang susah mengasihi golongan yang senang. 


Zakat juga membersihkan harta daripada perkara-perkara yang merosakkannya. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


74- عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَدَّى زَكَاةَ مَالِهِ ذَهَبَ عَنْهُ شَرُّهُ. (رواه الطبراني)


74- Dari Jabir r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya, nescaya hapuslah segala apa jua yang merosakkan hartanya."(1)


(Hadith Sahih - Riwayat Tabrani dan lain-lainnya)


Yakni dengan mengeluarkan zakatnya, baharulah harta itu menjadi bersih dan hak fakir miskin dan lain-lain golongan yang diwajibkan padanya, jika tidak maka harta itu akan punah ranah dan tuannya akan menerima akibat yang buruk di dunia dan akhirat.


Sebab itu ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:



75- عَنْ الْحَسَنِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَصِّنُوا أَمْوَالَكُمْ بِالزَّكَاةِ. (رواه أبو داود في المراسيل)


75- Dari al-Hasan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng-benteng zakat .."(1)


(Hadith Mursal - Riwayat  Abu Daud)


Yakni keluarkanlah zakat,  kerana zakat itu menjadi benteng yang kukuh yang menyelamatkan harta benda kamu dari segala apa jua yang merosakkannya.


Selain daripada "membersihkan" pengeluarnya dan sifat-sifat yang keji (seperti sifat bakhil kedekut dan mementingkan diri), zakat juga "mengembangkan" harta yang dikeluarkan zakatnya - menjadi harta yang berkat dan pengeluarnya pula mendapat pahala yang berlipat ganda.


Hakikat ini dijamin oleh Allah di dalam al-Qur'an dengan firman-Nya:


.. وَمَا ءَاتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ.

" .. dan (sebaliknya) sesuatu pemberian sedekah dan zakat yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala yang berganda-ganda."(2)


Dan firman-Nya lagi:


يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ ..

"Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya .." (3)

Asal Mulanya Zakat Diwajibkan

Pada mulanya zakat diwajibkan di Mekah al-Mukarramah dalam zaman permulaan Islam, seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat al-Qur'an yang di turunkan pada masa itu. Tetapi perintah wajibnya adalah secara umum,  tidak di terangkan jenis-jenis harta benda yang diwajibkan zakatnya dan jumlah yang wajib dikeluarkan. Soal itu hanya diserahkan kepada timbang rasa orang-orang Islam dan kemurahan hatinya.(1)


Setelah Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan setelah terbentuknya umat Islam dan negara Islam,  maka pada tahun yang kedua hijriyah disyariatkan zakat dalam bentuk yang lengkap sempurna dengan menerangkan jenis harta benda yang diwajibkan zakatnya, jumlah yang wajib dikeluarkan,  orang yang berhak menerimanya dan lain-lain lagi satu persatu.


Dalil wajibnya ditegaskan berulang-ulang di dalam al-Qur'an. Di antaranya ayat-ayat berikut:


وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَءَاتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ.

"Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Rasulullah,  supaya kamu beroleh rahmat. "(2)


Malah dalam al-Qur'an perintah "mengeluarkan zakat" selalu sahaja disebut berpasangan dengan perintah "mendirikan sembahyang".


Penegasan ini terdapat dalam lapan puluh dua ayat. (3)

Di dalam hadith pula, zakat ditegaskan menjadi salah satu "Rukun Islam". Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:



76- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْإِسْلَامَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ. (رواه مسلم)


76- Dari Ibn Umar r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun) , iaitu: Mengucap dua kalimah syahadat (dengan meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah,  mendirikan sembahyang,  memberi zakat,  berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah."(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:


77- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ. (رواه البخاري)


77- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepada Mu'az (1) bin Jabal ketika Baginda mengutusnya ke negeri Yaman:  "Engkau wahai Mu'az akan sampai kepada suatu kaum (yang terdapat di antaranya golongan) ahli kitab (2), kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah mereka supaya mengucap dua kalimah syahadat dengan meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah.  Jika mereka mematuhi seruanmu itu, maka khabarkanlah bahawa Allah Taala telah fardhukan atas mereka lima sembahyang pada tiap-tiap hari dan malamnya. Jika mereka mematuhi seruan mu itu, maka khabarkanlah bahawa Allah Taala telah fardhukan atas mereka zakat yang diambil daripada orang-orang mereka yang kaya untuk diberikan kepada orang-orang mereka yang miskin.  Jika mereka mematuhi seruanmu itu. Maka awaslah (semasa mengambil zakat) janganlah engkau mengambil harta benda mereka yang sangat-sangat bernilai dan jagalah dirimu daripada (berlaku zalim supaya engkau tidak ditimpa bencana di sebabkan) doa orang-orang yang teraniaya, kerana doanya itu (tetap makbul), tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangnya daripada dikabulkan oleh Allah. "(3)


(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


Kesimpulan hadith ini, antara lain:


(1) Semasa menyiarkan Islam, hendaklah menerangkan lebih dahulu perkara yang asasi yang tersimpul dalam dua kalimah syahadat. 

(2) Cara penyampaian dakwah, hendaklah menerangkan satu masalah dahulu, setelah mereka memahaminya, baharulah ia menerangkan masalah yang lain.


(3) Orang-orang Islam yang berharta diwajibkan mengeluarkan zakat hartanya untuk keperluan orang-orang Islam yang miskin dalam masyarakatnya.

(4) Pemerintah Islamiah yang bertanggungjawab memungut zakat dengan perantaraan pegawai-pegawai dan 'amil-'amilnya, kerana dengan cara yang demikian, zakat yang menjadi salah satu rukun Islam untuk membentuk masyarakat adil - dapat dipungut dengan sempurna dan dibahagikan dengan sempurna. 

(5) Zakat yang dipungut dalam sebuah wilayah hendaklah dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya dalam wilayah itu juga, tidak boleh dibawa ke tempat lain.(4)

(6) Semasa memungut zakat,  'amil-'amil dilarang memilih harta benda yang sangat-sangat bernilai dan mengambilnya sebagai habuan zakat, kerana perbuatan yang demikian sudah tentu akan menimbulkan kemarahan tuan punya harta itu dan dipandang sebagai perbuatan yang zalim. 

(7) Pegawai-pegawai pemerintah diarahkan supaya menjaga diri daripada berlaku zalim kepada rakyat jelata, kerana perbuatan yang demikian bukan sahaja dimurkai Allah dan buruk padahnya bahkan orang yang teraniaya itu pula tidak akan berdiam diri, sekurang-kurangnya ia akan berdoa merayu kepada Allah Azza wa Jalla untuk mendapat pembelaan dan doanya itu sangat makbul.

Fadhilat Zakat Dan Kelebihannya

Orang-orang yang menunaikan zakat beroleh sebaik-baik balasan.  Ini ditegaskan di dalam al-Qur'an seperti berikut:


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ.

"Dan orang-orang yang beriman,  lelaki dan perempuan,  setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyeru berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah,  sesungguhnya Allah Maha Kuasa,  lagi Maha Bijaksana. "(1)


Yakni golongan yang diberkati Allah dan dilimpahi dengan rahmatNya ialah golongan yang beriman kepada Allah dan bertolong bantu sesama sendiri, yang menyuruh berbuat baik dan mencegah perbuatan jahat dan yang mengikat hubungannya dengan Allah:  Dengan amalan sembahyang, serta menguatkan hubungannya dengan masyarakat: Dengan pemberian zakat. (2)

Di dalam hadith pula ditegaskan seperti berikut:


78- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَأَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَا خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ مَا مِنْ عَبْدٍ يُصَلِّي الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ وَيَصُومُ رَمَضَانَ وَيُخْرِجُ الزَّكَاةَ وَيَجْتَنِبُ الْكَبَائِرَ السَّبْعَ إِلَّا فُتِّحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَقِيلَ لَهُ ادْخُلْ بِسَلَامٍ. (رواه النسائي وغيره)

 

78- Dari Abu Hurairah dan Abu Said r.a., katanya: Dalam khutbahnya kepada kami, Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. mana-mana orang yang mengerjakan sembahyang yang lima, berpuasa pada bulan Ramadhan,  mengeluarkan zakat dan menjauhi dosa-dosa besar yang tujuh(1), melainkan di bukakan baginya pintu-pintu Syurga,  serta di katakan kepadanya: Dipersilakan masuk dengan selamat sejahteranya".(Hadith Sahih - Riwayat Nasa`i dan lain-lainnya).


Balasan Buruk Bagi Orang-Orang Yang Tidak Mengeluarkan Zakat


Sebagaimana orang-orang yang mengeluarkan zakat dijanjikan dengan sebaik-baik balasan,  maka orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat diberikan amaran yang sekeras-kerasnya dan dijanjikan dengan azab siksa yang sungguh ngeri dan menggerunkan.

Antara lain, ditegaskan di dalam al-Qur'an seperti berikut:


وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ.


يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ.



"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah,  maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab siksa yang tidak terperi sakitnya.


"Iaitu pada hari dibakar emas,  perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang badan mereka (sambil dikatakan kepada mereka); inilah apa yang telah kamu simpan untuk (kepentingan) diri kamu sendiri; oleh itu rasalah (azab siksa dari) apa yang kamu simpan itu."surah al-Taubah.


Mengumpulkan harta yang banyak tidaklah salah, tetapi yang salah ialah mengumpulkan harta benda dengan tidak mengeluarkan zakat yang diwajibkan Allah atasnya.">(1)


Ditegaskan lagi:


وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا ءَاتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ..

"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dan kemurahan-Nya menyangka: Bahawa sikap bakhil itu baik bagi mereka, bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan disiksa dengan dikalung dan dibelitkan badan mereka dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak .."(2)

Diterangkan pula di dalam hadith seperti berikut:



79- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ وَلَا فِضَّةٍ لَا يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلَّا إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ صُفِّحَتْ لَهُ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَيُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ وَجَبِينُهُ وَظَهْرُهُ. (رواه مسلم)


79- Dari Abu Hurairah r.a.h., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mana-mana tuan punya emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya, melainkan akan disediakan baginya pada hari kiamat:  Keping-keping leburan dari api, lalu leburan itu dibakar di dalam neraka jahannam, kemudian diselar dengannya rusuknya, dahinya dan belakang badannya ..".(1)

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:



80- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ ثُمَّ تَلَا لَا يَحْسِبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ الْآيَةَ. (رواه البخاري)


80- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang diberikan Allah harta benda, kemudian ia tidak menunaikan zakatnya, (maka hartanya itu) akan menjadilah baginya pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan yang licin berkilat kepalanya (kerana bisanya) dan mempunyai dua tanda hitam (di atas kedua keningnya). Ular itu akan membelit badannya pada hari itu, kemudian mematuk-matuknya lalu berkata kepadanya: "Akulah hartamu, akulah hartamu yang engkau tidak keluarkan zakatnya". "Setelah itu Baginda membaca ayat (1):


وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ ..

hingga akhirnya.(2)


(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)


Di dalam beberapa hadith yang lain diterangkan: Bahawa orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat binatang ternakan,  sama ada unta atau lembu atau pun kambing, maka ia pada hari kiamat kelak akan dipijak-pijak, digigit dan di tanduk oleh binatang-binatang ternakan itu.


Selain daripada balasan buruk di akhirat, orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat hartanya akan ditimpa bencana di dunia. 

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

81- عَنْ بُرَيْدَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مَنَعَ قَوْمٌ الزَّكَاةَ إِلَّا ابْتَلَاهُمُ اللَّهُ بِالسِّنِينَ. (رواه الطبراني)

81- Dari Buraidah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada sesuatu kaum yang menyekat (dan tidak mengeluarkan) zakat hartanya, melainkan mereka ditimpakan Allah dengan kebuluran dan kepapaan. "(1)

(Riwayat Tabrani)

Ditegaskan lagi dalam hadith berikut:


82- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَلِفَ مَالٌ فِي بَرٍّ وَلَا بَحْرٍ إِلَّا بِحَبْسِ الزَّكَاةِ. (رواه الطبراني)


82- Dari Umar al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak binasa sesuatu harta benda, sama ada di darat atau di laut, melainkan disebabkan harta itu tidak dikeluarkan zakatnya.(Hadith Gharib - Riwayat Tabrani)

Selain daripada yang disebutkan itu, kisah Tha'labah yang berlaku dalam zaman yang lalu menjelaskan lagi setakat mana buruknya bencana di dunia yang akan menimpa orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat 

Menurut riwayatnya(2): Tha'labah ialah seorang penduduk Madinah yang hidup dalam zaman Rasulullah s.a.w.


Pada suatu hari, Tha'labah merayu, supaya Baginda mendoakan baginya semoga Allah Ta'ala memberinya harta kekayaan sehingga ia senang dan mewah. 


Mendengar permintaannya itu, Baginda menyuruhnya bersyukur dengan apa yang ada, kerana mungkin ia akan menyeleweng dan lupa daratan setelah ia menjadi kaya raya.


Tha'labah merayu lagi kepada Baginda sambil bersumpah,  bahawa ia akan mengeluarkan sebahagian dan hartanya untuk membantu fakir miskin dan orang-orang yang berhak mendapat bantuan.


Akhirnya Baginda berdoa ke hadrat Ilahi semoga Tha'labah diberi kemewahan sehingga ia menjadi seorang hartawan.


Tha'labah pun membela kambing, lalu kembang biaklah kambingnya itu sehingga ia terpaksa berpindah ke sebuah wadi (tanah lembah) di luar bandar Madinah. 


Semenjak itu, Tha'labah yang biasanya mengerjakan sembahyang lima waktu dengan berjamaah bersama Baginda, hanya sempat mengerjakan dua waktu sahaja - Zuhur dan Asar.


Kemudian kambingnya bertambah biak lagi dan ia pula berpindah ke tempat yang terpencil jauh sehingga dia tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lima dengan berjamaah bersama-sama Baginda kecuali sembahyang Jumaat dan akhimya sembahyang Jumaat juga ditinggalkan. 


Oleh kerana Tha'labah telah lama tidak kelihatan, lalu Baginda bertanya khabar beritanya. Setelah diketahui beritanya, murkalah Baginda sambil menyebut berulang-ulang akan akibat buruk yang akan menimpa Tha'labah.


Kebetulan pada ketika itu turun perintah Allah Taala mengenai zakat,  lalu baginda mengutuskan dua orang pegawainya memungut zakat dengan membawa surat Baginda yang menerangkan jenis-jenis harta benda yang diwajibkan zakatnya. Mereka juga diperintahkan supaya singgah ke tempat Tha'labah mengambil zakat binatang ternaknya dan mengambil zakat dari seorang lagi yang tinggal tidak jauh dari situ. Orang itu dikenal dengan nama "Al-Salmi".(3)


Setibanya mereka ke tempat Tha'labah dan setelah mereka mengenalkan diri sebagai pemungut zakat dan membacakan surat Baginda kepadanya. Tha'labah berbuat-buat tak faham sambil merungut dengan mengatakan bahawa zakat yang dikenakan itu sama sahaja dengan cukai kepala jizyah), kemudian Tha'labah meminta mereka datang sekali lagi ke tempatnya sekembalinya mereka dari tempat lain.


Lain pula halnya al-Salmi. Sebaik-baik sahaja ia mendengar kedatangan utusan Rasulullah s.a.w., segeralah ia memilih dan mengasingkan beberapa ekor binatang ternakan yang gemuk-gemuk untuk dijadikan zakat lalu diserahkannya kepada mereka.


Melihatkan kejujurannya yang demikian, mereka menerangkan kepadanya bahawa ia tidak diwajibkan memilih binatang ternaknya yang gemuk-gemuk untuk dijadikan zakat,  (tetapi cukuplah yang sederhana keadaannya - asalkan tidak sakit atau cacat) dan kerana itu mereka keberatan hendak menerimanya.


Tetapi al-Salmi mendesak mereka mengambilnya sambil berkata:  Bahawa ia sengaja memilih hartanya yang sebaik-baiknya dan memberikannya dengan sukarela dan ikhlas. 


Mereka pun mengambilnya dan meneruskan perjalanan memungut zakat ke tempat lain sebagaimana yang ditugaskan dan sekembalinya mereka singgah sekali lagi untuk memungut zakat dari Tha'labah.


Tha'labah masih juga berdalih dan akhirnya dia meminta mereka pergi kerana dia hendak berfikir dahulu.


Kembalilah mereka ke Madinah membawa zakat yang telah dipungut dan juga membawa berita Tha'labah yang enggan membayar zakatnya.


Sebaik-baik sahaja Rasulullah s.a.w melihat ketibaan 'amil-'amilnya itu dan sebelum Baginda bertanya mereka, kedengaran Baginda menyebut bahawa Tha'labah akan menerima balasan yang seburuk-buruknya. Sebaliknya Baginda berdoa: Semoga al-Salmi (dan pembayar-pembayar zakat yang lain) diberkati Allah dan dimewahkan rezekinya.

Setelah 'amil-'amil itu menyampaikan kepada Baginda apa yang telah dilakukan oleh Tha'labah dan apa yang dilakukan oleh al-Salmi, turunlah firman Allah Taala mengenai peristiwa itu:



وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ ءَاتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ.


فَلَمَّا ءَاتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ.


فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ.



"Dan di antara mereka ada yang telah berjanji kepada Allah (dengan berkata): "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh. "'


"Kemudian setelah Allah memberikan mereka dan limpah kurnia-Nya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janji mereka dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).


"Akibatnya: Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka - berkekalan hingga masa mereka menemui Allah kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta."(1)

Setelah Tha'labah diberitahu oleh seorang kerabatnya, bahawa beberapa ayat al-Qur'an telah diturunkan Allah mengenainya, gementarlah ia lalu berkejar mengadap Rasulullah s.a.w. dan memohon hendak membayar zakatnya. Tetapi permohonannya ditolak oleh Baginda dengan bersabda: "Aku dilarang oleh Allah Taala menerima zakatmu".

Tinggallah Tha'labah dalam keadaan sesal dan merana, tetapi sesal kemudian tidak berguna, tinggallah dia sebagai seorang yang dimurkai sehinggalah Rasulullah s.a.w. wafat.

Zakatnya juga telah ditolak oleh Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar dan Saiyidina Uthman r.a. dalam zaman pemerintahan masing-masing.

Demikianlah halnya sehinggalah ia mati dalam zaman Saiyidina Uthman r.a.,

Hukum Orang Yang Enggan Membayar Zakat

Oleh kerana zakat telah sedia diketahui oleh umat Islam umumnya sebagai salah satu perkara agama yang diwajibkan,  bahkan salah satu "Rukun Islam", maka orang yang mengingkari wajibnya menjadilah murtad - terkeluar dari Islam, kecuali kalau ia seorang yang baharu memeluk Islam,  maka ia tidak dihukum demikian disebabkan kejahilannya.

Sebaliknya kalau orang yang enggan membayar zakat itu - tetap beriktikad tentang wajibnya, maka ia dikira berdosa besar dan pemerintah Islam bertanggungjawab mengambil zakat dengan paksa daripadanya serta menghukumnya - dengan dita'zirkan.

Kalau pula orang enggan membayar zakat itu satu kumpulan ramai bilangannya dan kuat pertahanannya tetapi mereka tetap beriktikad tentang wajibnya, maka pemerintah Islam bertanggungjawab memerangi mereka sehingga mereka tunduk menyerah dan membayar zakatnya.

Hukum ini berdasarkan keterangan-keterangan yang berikut:

Pertama: Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibn Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. menerangkan:  Bahawa Baginda diperintahkan oleh Allah Taala supaya memerangi orang-orang yang tidak melaksanakan beberapa perintah agama yang menjadi "Rukun Islam" di antaranya ialah "Memberi zakat".

 Kedua:    Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lainnya, dari Abu Hurairah r.a., bahawa khalifah Islam yang pertama - Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a., telah mengerahkan tentera Islam memerangi beberapa kaum yang enggan membayar zakat. (1)

 Firman Allah Taala:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ.


"Wahai orang-orang yang beriman,  belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata semasa mengambilnya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya,  lagi sentiasa terpuji. "(1)

Menurut keterangan syarak,  zakat terbahagi dua.

Pertama: Zakat badan (zakat fitrah) (2) dan

Kedua:   Zakat harta. 

Jenis-jenis harta yang diwajibkan zakatnya ialah:

 (1) Emas dan perak

 (2) Binatang ternak: Unta,  lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk kambing biri-biri atau kibas).

 (3) Hasil tanaman: 

      (a) Biji-bijian dari jenis-jenis yang mengenyangkan dan tahan disimpan seperti gandum,  padi, 

             jagung   dan lain-lainnya.

      (b) "Buah-buahan": Tamar dan anggur sahaja.

 (4) Barang-barang perniagaan. 

 (5) Benda-benda galian (dari logam emas dan perak).

 (6) "Rikaz" , iaitu harta benda yang terpendam yang ditanam oleh orang-orang dahulu - zaman jahiliyah.

 Orang Yang Diwajibkan Membayar Zakat
Orang yang mempunyai mana-mana jenis harta yang tersebut. Dan cukup pula syarat-syaratnya, diwajibkan membayar zakatnya.

Syarat-syaratnya itu ialah: Islam, merdeka,  hak milik yang sempurna(1), cukup nisab(2) dan "haul" (genap setahun dalam miliknya).(3)

Nisab itu pula disyaratkan:

1.   Hendaklah ia berlebih daripada haj at keperluan seseorang yang asasi: Perbelanjaan makan minum,  pakaian,  tempat tinggal,  kenderaan dan alat-alat perusahaan. 

2. Hendaklah ia genap setahun menurut hitungan tahun hijrah dan dikira permulaannya dari tarikh ia dimiliki serta berterusan cukupnya di sepanjang-panjang tahun itu. Kalau ia kurang dalam masa yang tersebut, kemudian ia cukup semula, maka permulaan tahun haulnya ialah dan masa ia cukup semula.

Menurut penjelasan Imam Nawawi rahimahullah: Pada harta yang diwajibkan zakatnya dan dikehendaki genap setahun - seperti emas perak dan binatang ternak - disyaratkan cukup nisab di sepanjang-sepanjang tahun haulnya. Kalau nisab (yang telah cukup) itu kurang pula (sesudah itu) dalam satu lahzah dari tahun itu maka putuslah haulnya. Kalau nisab yang tersebut cukup sesudah itu, hendaklah dikira semula tahun haulnya dari masa ia cukup nisab. (5)

 Orang Yang Berharta Yang Berhutang

Orang yang mempunyai harta yang diwajibkan zakatnya, sedang ia berhutang, hendaklah ia membayar hutangnya lebih dahulu dan yang bakinya - kalau cukup nisab - hendaklah ia membayar zakatnya. Kalau tidak cukup nisab,  maka ia tidak diwajibkan membayar zakat kerana dengan itu ia termasuk dalam golongan yang tidak mampu.(1)

Orang Mati Yang Masih Belum Membayar Zakatnya

Orang mati yang masih belum membayar zakat,  maka zakat itu wajib dikeluarkan dari hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya. 


This article comes from Masjid Al-Muhsinin Kg. Raja
http://mkgraja.com

The URL for this story is:
http://mkgraja.com/modules/content/index.php?id=41