PUASA

PUASA BULAN RAMADHAN

Firman Allah Taala:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.
Surah al-Baqarah;183
"Wahai orang-orang yang beriman,  kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa". (1)
Firman-Nya lagi:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..
Surah al-Baqarah;185
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur`an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia,  dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .. ". (2)
Berpuasa pada bulan Ramadhan - sebagaimana yang sedia maklum - ialah "rukun Islam yang keempat". Dalilnya dari al-Qur'an ialah ayat-ayat suci yang diterangkan di atas dan dari hadith pula seperti berikut:
1- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْإِسْلَامَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ. (رواه مسلم)
1- Dari Ibn Umar, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun), iaitu mengucap dua kalimah syahadat (dengan meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah,  mendirikan sembahyang,  memberi zakat,  berpuasa pada bulan Ramadhan,  dan mengerjakan haji ke Baitullah".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut sejarahnya puasa bulan Ramadhan telah difardhukan atas umat Islam dalam bulan Sya'aban, tahun yang kedua Hijriyah.
Ta'rif Puasa dan Kelebihannya
Puasa ertinya menahan diri,  dan pada syarak maksudnya menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa,  mulai dari masa terbit fajar hingga tenggelam matahari disertakan dengan niat. 
Membendung Kemahuan Hawa Nafsu
Menurut huraian ulama' rahimahumullah: "Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai kehormatan diri dan rumah tangga,  mencuaikan tugas dan kewajipan,  mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.
"Oleh itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa. 
"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam."(1)
Kelebihan Puasa Secara Umum
Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:
2- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)
2- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa,  (maka) ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya) .."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Oleh kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata - berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara terbuka,  maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan dengannya.
 
 
Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
3- عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)
3- Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?" "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan,  sabdanya: "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan dosa sebagaimana air memadami api ... (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
4- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)
4- Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Qur'an) .. (1).
(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)
Selain daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini. 
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
5- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)
5- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya .. (1)
(Hadith Riwayat Tabrani)
 

HUKUM PUASA ORANG SAKIT DAN ORANG MUSAFIR

Firman Allah Taala:
.. فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ..
Surah al-Baqarah;184
" .. Barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam keadaan musafir,  (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain .." (1)
Ayat suci ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang ada uzur syar'i diberi "rukhsah" (2) membuka puasa dan diwajibkan mengqadha puasanya apabila mereka pulih semula.
 
Hukum Puasa Orang Sakit
Menurut huraian ulama', rahimahullah: Bahawa orang sakit yang ada harapan untuk sembuh, dibolehkan meninggalkan puasa semasa ia sakit dan diwajibkan ia mengqadha puasanya itu sesudah ia sembuh kelak.
Dalilnya ialah ayat suci yang diterakan di atas.
Sebaliknya orang yang sakit berat dan tidak ada harapan untuk sembuh dan orang tua yang tidak larat berpuasa,  dibolehkan mereka meninggalkan puasa di sebabkan uzurnya itu dan diwajibkan membayar "fidyah" iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.
Dalilnya diterangkan di dalam al-Qur' an, seperti berikut:
.. وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ..
Surah al-Baqarah;184
" .. Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin .."(1)
Hukum Puasa Orang Musafir
Orang yang pergi belayar (musafir) dengan meninggalkan rumah tangganya dan kampung halamannya diberikan kelonggaran atau kemudahan dalam mengerjakan perintah-perintah syarak yang tertentu (seperti sembahyang fardhu yang lima dan berpuasa pada bulan Ramadhan) dengan beberapa syarat yang tertentu.
Orang yang sedang musafir dalam bulan Ramadhan,  dibenarkan meninggalkan puasanya dan diwajibkan mengqadhanya pada masa yang lain.
Dalilnya ialah ayat suci yang telah diterangkan dahulu.
Dalam pada itu, jika ia mahu juga berpuasa dalam masa ia sedang musafir,  maka itu tidak menjadi salah malah terserah kepada pilihannya:
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
43- عَنْ حَمْزَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَسْلَمِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَجِدُ بِي قُوَّةً عَلَى الصِّيَامِ فِي السَّفَرِ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هِيَ رُخْصَةٌ مِنْ اللَّهِ فَمَنْ أَخَذَ بِهَا فَحَسَنٌ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَصُومَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ. (رواه مسلم)
43- Dari Hamzah bin Amru al-Aslami r.a., bahawa ia ada bertanya, (katanya): "Ya Rasulullah,  saya rasa, saya tahan berpuasa dalam masa musafir,  oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?"
Rasulullah s.a.w. menjawab:  "Itu adalah satu rukhsah (kemudahan) dari Allah Taala, barangsiapa menggunakan kemudahan itu (lalu ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik,  dan barangsiapa suka hendak berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Tetapi cara mana yang lebih afdhal?
Menurut Imam al-Syafi'i, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, rahimahumullah: Lebih afdhal berpuasa dalam masa musafir - bagi orang yang tahan berpuasa. 
Sebaliknya lebih afdhal berbuka puasa dalam masa musafir - bagi orang yang tidak tahan berpuasa. (2)
Syarat-syarat yang membolehkan seorang itu membuka puasanya dalam masa musafir, ialah juga syarat-syarat yang membolehkan mengqasarkan sembahyangnya, seperti yang telah diterangkan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua.(3)
Puasa Perempuan Yang Sedang Hamil Dan Yang Sedang Menyusukan Anaknya
Perempuan yang sedang hamil dan perempuan yang sedang menyusukan anaknya dibolehkan berbuka puasa,  jika ia takutkan puasanya itu akan mendatangkan mudarat kepada dirinya. Sesudah itu mereka diwajibkan mengqadhakan puasanya.
Tetapi jika mereka berbuka puasa kerana takutkan puasanya itu akan mendatangkan mudharat kepada anaknya semata-mata, maka mereka diwajibkan mengqadha puasanya dan membayar "fidyah".(1)
Perempuan Yang Kedatangan Haid Dan Nifas
Menurut huraian ulama', rahimahumullah: Perempuan yang kedatangan haid dan perempuan yang sedang dalam keadaan nifas (bersalin), diwajibkan berbuka puasa,  malah haram berpuasa.
Mereka wajib mengqadha puasanya yang ditinggalkan itu setelah mereka pulih dari uzurnya dan bersuci.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
44- عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنَّا نَحِيضُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ نَطْهُرُ فَيَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصِّيَامِ وَلَا يَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ. (رواه البخاري ومسلم)
44- Dari `Aisyah r.a., katanya: "Semasa kami kedatangan haid - dalam zaman Rasulullah s.a.w. - kami diperintahkan mengqadha puasa tetapi kami tidak diperintahkan mengqadha sembahyang."(2)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Masalah Mengqadha Puasa Ramadhan:
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, sama ada di sebabkan uzur yang dibenarkan oleh syarak atau dengan ketiadaan uzur - wajiblah mengqadhanya sebanyak hari yang ditinggalkan itu.
Jika ia meninggalkan puasanya dengan ketiadaan uzur syar'i, hendaklah ia segera beristighfar dan bertaubat daripada perbuatannya yang berdosa itu dan hendaklah ia menyegerakan mengqadhanya dengan tidak bertangguh lagi.
Sebaliknya jika ia meninggalkan puasanya disebabkan uzur syar'i maka masa mengqadhanya tidak ditentukan, malah ia boleh memilih masa yang sesuai,  mulai dari bulan Syawal hinggalah ke akhir bulan Sya'aban.
Kalau ia masih juga belum mengqadha puasanya itu sehingga masuk bulan Ramadhan yang satu lagi dengan ketiadaan uzur syar'i, wajiblah ia mengqadhanya selepas itu dan kenalah ia membayar "fidyah" iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.(1)
Selagi qadha puasa itu tidak dibayar, maka fidyahnya akan bertambah. 
Misalnya: Jika masuk bulan Ramadhan kali kedua, fidyah itu akan menjadi dua cupak, kali ketiga: Tiga cupak, kali keempat: Empat cupak dan seterusnya, - bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.(2)
Mengqadha Puasa Orang Mati
Orang yang tidak mengerjakan puasa Ramadhan selama beberapa hari atau lebih dari itu, atau ia tidak mengerjakan puasa "nazar" atau puasa "kifarah", disebabkan uzur syar'i (seperti sakit dan sebagainya) lalu ia mati sebelum sempat mengqadha puasanya, maka ia tidak dikira berdosa. 
Dengan itu, pihak kaum kerabatnya tidak dikenakan mengqadha puasanya atau membayar "fidyah" dari harta peninggalannya.
Sebaliknya, kalau ia mati setelah hapus uzurnya - yakni setelah ia sembuh dari sakitnya dan sebagainya - kemudian semasa hayatnya tidak mengqadha puasanya itu maka hukumnya menurut jumhur ulama' (1), bahawa pihak kaum kerabatnya tidak dibolehkan berpuasa untuknya tetapi hendaklah membayar "fidyah" untuknya dari harta peninggalannya, iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.
 
 
This article comes from Masjid Al-Muhsinin Kg. Raja
http://mkgraja.com

The URL for this story is:
http://mkgraja.com/modules/content/index.php?id=37