DOA

PANDUAN DOA

Allah menyuruh kita berdoa (اُدْعُوْنِيْ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ) “berdoalah kepadaKu, nescaya Aku Perkenankan” Sabda Nabi s.a.w.:( اَلدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ) “doa adalah otak ibadat”

Di dalam al-Quran juga penuh dengan doa yang dirakamkan dari doa para nabi dan rasul serta orang yang soleh. Orang yang berdoa disukai oleh Allah manakala orang yang tidak berdoa dianggap sebagai orang yang takbur dan dibenci oleh Allah.

KEPENTINGAN BERDOA

Doa atau permohonan seorang hamba kepada Tuhannya sangat penting kerana Allah sahaja tempat permohonan doa dan Dia sahaja yang boleh memperkenankan segala permohonan hamba walau banyak mana sekali pun.
Allah berfirman: (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ) yang bermaksud : “Hanya Engkau sahaja yang kami sembah dan hanya kepada Engkau sahaja kami memohon”.

Allah akan memperkenan doa yang cukup syarat dan adabnya yang dilakukan oleh hambanya yang beriman lagi taat. Jika seseorang itu berharap kepada selain dari Allah, Allah tidak akan memperkenankan doanya. Lagi pun Tuhan sangat suka jika kita banyak meminta tetapi kerap memohon kepada manusia akan dibenci.

Berdoa bermakna berhubung dengan Allah. Orang yang tidak jemu-jemu berdoa bererti dia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Allah. Orang yang berdoa selain mendapat apa yang dihajati, ia akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan, kebahagiaan yang tiada tolok bandingnya. Ia juga tidak akan berputus asa. Bahkan dengan berkat doanya, Tuhan akan memberi petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus serta menyedarkannya supaya taat dan beribadat kepada Allah.

ADAB DAN SYARAT MAKBUL DOA

1. Membersihkan diri dari dosa sama ada kecil atau besar dengan cara memperbanyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah jika berdoa besar.

2. Melakukan amal soleh atau kebaikan yang dapat membina hubungan yang baik dengan Allah. Orang yang meninggalkan amal soleh dan ibadat seperti solat dan sebagainya, doanya tidak mungkin dikabulkan. Bagaimana mungkin Tuhan menerima permohonan orang yang lupa kepadaNya padahal Allah hanya mengingati orang yang mengingatinya ( فَاذْكُرُوْنِىْ أَذْكُرْكُمْ) yang bermaksud “ingatlah Aku pasti Aku akan mengingati kamu”.

3. Mengikuti adab-adab berdoa di antaranya ialah

a) ikhlas, dimulai dan diakhiri dengan pujian kepada Allah (alhamdulillah) dan selawat ke atas nabi.

b) Yakin dimakbulkan Allah dan hadir hati ketika berdoa.

c) Menghadap kiblat, berdoa tiga-tiga kali, mengangkat tangan.

d) Suci dari hadas (berwudhuk).

e) Menggunakan nama Allah (asmaul husna), sifatNya atau melalui sesuatu amal soleh yang dilakukan atau doa seorang lelaki yang soleh untuknya.

f) Menjauhi maksiat dan dosa.

g) Memilih waktu makbul doa.


DOA YANG MAKBUL (WAKTU MAKBUL & ORANG YANG MAKBUL DOA)

» malam Lailatul Qadar 
» waktu sahur ( 1/3 terakhir malam) 
» selepas solat Fardh 
» di antara azan dan iqamat, ketika azan 
» ketika hujan lebat 
» hari Jumaat (malam atau siang) 
» ketika minum air zamzam dengan niat yang baik 
» ketika sujud, ketika bangun tidur pada malam hari dan berdoa dengan doa maksur (dari al-Quran dan Hadis) 
» doa orang ramai ketika kematian seseorang 
» doa selepas tahiyyat akhir sebelum salam (dlm bahasa Arab) 
» berdoa dengan asmaul husna 
» doa seorang muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuannya 
» doa pada hari Arafah, bulan Ramadhan, ketika dalam majlis zikir, ketika ditimpa musibah 
» doa orang yang dizalimi 
» doa ibu bapa untuk anaknya 
» doa orang yang musafir 
» doa orang yang berpuasa ketika berbuka 
» doa seorang pemimpin yang adil 
» doa orang yang dipaksa 
» doa anak soleh kepada ibu bapanya 
» doa selepas wudhuk dengan doa maksur

This article comes from Masjid Al-Muhsinin Kg. Raja
http://mkgraja.com

The URL for this story is:
http://mkgraja.com/modules/content/index.php?id=17