MENGENALI AL-QURAN

SEJARAH  AL-QURAN

Perkataan Quran menurut pendapat yang paling kuat seperti yang dimaksudkan oleh Dr Subhi Al Salih bererti “bacaan”, yang berasal daripada perkataan “qara’a”; iaitu suatu bentuk bacaan yang berterusan. Dalam Al-Quran memang terdapat perkataan “quran” dalam erti kata tersebut seperti dalam surah Al-Qiyaamah ayat 17 dan 18.
Maksudnya:  Sesungguhnya mengumpulkan Al-Quran (dalam dadamu) bacaannya (pada  lidahmu) itu adalah tanggungan Kami.
Definisi perkataan Al-Quran ialah “Kalam Allah swt yang merupakan mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan turun-temurun. Harus diingat bahawa membaca Al-Quran itu merupakan ibadah.  
 Kalam Allah yang diturunkan kepada nabi-nabi lain tidak dinamakan Al-Quran seperti Taurat kepada Nabi Musa  a.s., Zabur kepada Nabi Daud  a.s. , dan Injil kepada Nabi Isa  a.s. 
 
CARA-CARA PENURUNAN AL-QURAN
 
Al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui berbagai-bagai cara dan keadaan. Antaranya:   
 
1.     Malaikat Jibril memasukkan wahyu itu ke dalam hati baginda. Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w. tidak melihat sesuatu apapun. Baginda hanya merasai bahawa wahyu itu sudah berada di dalam kalbunya.
2.      Malaikat Jibril menampakkan dirinya berupa seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepada baginda sehingga baginda mengetahui dan hafaz benar-benar akan kata-kata itu.
3.      Wahyu datang kepada baginda seperti bunyi loceng bergemerincing. Cara inilah yang amat berat  dirasakan oleh Nabi. Kadang-kadang di dahinya berpancaran keringat, walaupun turunnya wahyu itu dalam musim dingin yang amat sangat. Kadang-kadang wahyu itu turun ketika baginda sedang menunggang unta. Maka unta itu terpaksa berhenti dan terus duduk kerana berasa terlalu amat berat. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit, “Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulallah. Aku lihat Rasulallah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yamg kuat dan keringatnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu itu barulah baginda kembali seperti biasa.
4.      Malaikat Jibril menampakkan dirinya yang sebenar kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti rupanya yang asal. Hal ini tersebut dalam Al-Quran, surah Al-Najm ayat 13 dan 14: Maksudnya:  “ Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain. Ketika   (ia berada) di Sidratulmuntaha.
 
Al-Quran yang mengandungi sebanyak 6,236  ayat itu tidaklah diturunkan secara serentak sekaligus. Sebaliknya ayat-ayat sebanyak itu diturunkan secara beransur-ansur. Ada beberapa hikmah tertentu mengapa Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur.

 Al-Quran diturunkan dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
HIKMAT DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR
 
Antara hikmahnya ialah:   
 
1.     Agar lebih mudah difahami, dihayati dan dilaksanakan. Orang enggan dan susah melaksanakan suruhan dan larangan Allah yang banyak itu secara serentak dan sekaligus.  
2.     Ada ayat-ayat yang terlalu tinggi darjat falsafahnya sesuai dengan masalah yang berlaku ketika wahyu itu diturunkan. Hal ini memerlukan masa untuk manusia mentafsir, memahami dan melaksanakannya.  
3.     Turunnya sesuatu ayat itu sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi dan cara beransur-ansur ini akan lebih berkesan dan berpengaruh di hati.  
4.     Memudahkan penghafazan. Dalam Al-Quran Allah ada menyatakan mengapa Quran itu diturunkan beransur-ansur. Surah Al-Furqaan ayat 32 ada menyatakan:  
Maksudnya:  Dan berkatalah orang-orang kafir, “Mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan   kepadanya sekali turun sahaja?” demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya  Kami membacanya dengan teratur dan benar (kelompok demi    kelompok). 

Antara ayat-ayat Al-Quran ada yang merupakan jawapan kepada pertanyaan atau penafian kepada sesuatu pendapat atau perbuatan, seperti yang dikatakan oleh Ibnu Abbas r.a. Hal ini tidak dapat dilaksanakan jika Al-Quran itu diturunkan secara  sekaligus.  
 
NAMA-NAMA AL-QURAN
 
Sebagai kitab Allah, Al-Quran mempunyai beberapa nama tertentu yang kesemuanya dirujuk kepada Al-Quran.
Antara  nama-namanya ialah 

1.     Al-Kitab atau Kitabullah yang sinonim dengan Al-Quran seperti yang disebut dalam surah Al-Baqarah ayat dua:  Maksudnya:  Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka  yang bertaqwa. 
2.     Al-Furqaan yang beerti “pembeza”; iaitu yang membezakan antara yang benar dengan yang batil. Hal ini jelas seperti yang tersebut dalam surah Al-Furqaan ayat  satu: Maksudnya:  Maha suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqaan (Al-Quran) kepada hambanya, agar dia menjadi peringatan kepada seluruh alam.   
3.       Adz-Dzikir yang bererti “peringatan” seperti yang tersebut dalam surah Al-Hijr ayat  9.  Maksudnya:  Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan “Adz-Dzikir” (Al-Quran) dan  sesungguhnya Kamilah  panjaganya.   
Dalam surah An-Nahl ayat 44 ada menyebut: 
Maksudnya:  Keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan Kami turunkan kepadamu Adz-Dzikir (Al-Quran), agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir.  
 
Kitab Al-Quran mengandungi:    30 juzuk,    114 surah,   dan    6,236 ayat.   
 
Pada permulaan kemunculan agama Islam, bangsa Arab merupakan bangsa yang buta huruf. Amat sedikit di kalangan mereka yang boleh menulis dan membaca. Walaupun demikian, mereka ialah bangsa yang mempunyai daya ingatan yang kuat. Golongan yang pandai menulis telah diminta oleh Rasulallah untuk menulis ayat-ayat Al-Quran di atas kulit binatang, batu yang nipis dan licin, pelepah tamar, tulang-tulang binatang, daun-daun dan lain-lain lagi. Selain ayat-ayat Al-Quran seperti hadis dan pelajaran-pelajaran yang didengar daripada mulut Rasulallah, baginda tidak membenarkan mereka menulisnya. Hanya ayat-ayat Al-Quran yang boleh ditulis. Larangan ini adalah bagi memastikan yang Al-Quran tetap terpelihara dan tidak dicampuradukkan dengan yang lain-lain.  
 
Setelah  Islam menakluki negeri Farsi barulah orang-orang Islam diperkenalkan dengan kertas. Bermulalah penulisan ayat-ayat Al-Quran di atas kertas. Bagi mereka yang tidak tahu menulis dan membaca, tiap-tiap ayat yang diturunkan itu disuruh oleh Nabi supaya menghafaznya. Rasulallah menganjurkan bahawa Al-Quran itu dihafaz, selalu dibaca dan diwajibkan membacanya dalam ibadat solat. Dengan demikian, ramailah umat Islam pada masa itu yang telah berjaya menghafaz Al-Quran. 
Kepandaian menulis dan membaca amat dihargai oleh Rasulallah. Baginda berkata, “Di akhirat nanti tinta para ulama akan ditimbang dengan darah pada syuhadak.” Dalam Perang Badar orang-orang musyrikin yang ditawan oleh Nabi, yang tidak mampu menebus diri mereka dengan wang, tetapi mereka mempunyai kepandaian menulis dan membaca, lalu masing-masing dikehendaki mengajar sepuluh orang Muslim sehingga boleh menulis dan membaca, sebagai ganti tebusan. Dengan yang dimikian, semakin ramailah orang Muslim yang pandai menulis dan membaca, dan semakin ramai pula umat Islam yang berminat menulis ayat-ayat Al-Quran. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mempunyai beberapa orang penulis yang ditugaskan menulis Al-Quran untuk baginda. Antara mereka ialah Ali bin Thalib, Osman bin Affan, Ubay bin Ka’ab, Zaid bin Tsabit, dan Mu’awiyah. 
 
PENGUMPULAN AL-QURAN
 
Ketika Saidina Abu Bakar menjadi Khalifah telah berlaku beberapa siri peperangan menentang orang-orang munafik dan murtad. Lalu ramailah para penghafaz Al-Quran yang telah terkorban dalam peperangan. Hal ini amat membimbangkan Omar Al-Khattab. Lantas beliau mencadangkan agar ayat-ayat Al-Quran itu dikumpul dan didokumentasikan supaya menjadi sebuah kitab. Usaha pengumpulan dan penulisan ini diserahkan kepada Zaid bin Tsabit. 
 
PENULISAN AL-QURAN
 
Dalam zaman Khalifah Osman bin Affan telah berlaku perselisihan cara pembacaan Al-Quran . Orang-orang Arab Muslim membaca mengikut dialek mereka sendiri. Lalu Osman bin Affan mengusahakan penulisan semula mengikut dialek orang Quraisy yang dinamai “Mushaf Al-Imam”. Malah Osman bin Affan telah memerintahkan semua lembaran penulisan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis sebelum “Mushaf Al-Imam “ itu dibakar. Dengan itu beliau mahu supaya hanya satu bentuk mushaf Al-Quran sahaja untuk seluruh umat Islam di seluruh pelosok dunia.
 
This article comes from Masjid Al-Muhsinin Kg. Raja
http://mkgraja.com

The URL for this story is:
http://mkgraja.com/modules/content/index.php?id=16