Masjid Al-Muhsinin Kg. Raja
         
    Welcome!    Register now    Login
image1
Login
Username:

Password:

Remember me



Lost Password?

Register now!

SISTEM A-QARYAH

SISTEM E-GURU

MENU UTAMA
ALBUM MASJID
RENCANA | TAZKIRAH S.S DATO' PADUKA MUFT

TAZKIRAH S.S DATO' PADUKA MUFT

TAZKIRAH S.S DATO' PADUKA MUFTI

 

Imam Hatim al-Asham adalah murid kepada Imam asy-Syaqiq al-Balkhi. Suatu hari beliau ditanya oleh gurunya, “Engkau telah belajar daripadaku selama 30 tahun, maka apakah ilmu yang telah engkau dapatkan daripadaku?”

Hatim al-Asham menjawab, “Aku dapat menghasilkan lapan faedah daripada segala apa yang aku pelajari. Pada hematku, lapan faedah tersebut sudah memadai bagiku, kerana aku dapat berharap dengannya untuk keselamatan dan kesejahteraan diriku (pada hari kiamat kelak).”

Syaqiq bertanya, “Apakah lapan faedah tersebut?”

Hatim menjelaskan, “Lapan faedah itu ialah: 
 
Faedah pertama

Sesungguhnya aku telah melihat kepada makhluk-makhluk yang ada di dunia ini, lalu aku mendapati bagi setiap makhluk ini mesti ada sesuatu yang dikasihinya dan diasyikinya. Dan aku aku melihat pula ada sebahagian daripada sesuatu yang dikasihinya itu hanya menemani kekasihnya sehingga ke masa ia sakit sahaja, dan ada pula yang terus menemaninya sehingga ke alam kubur. Manakala yang lain akan terus balik dan tidak mahu untuk bersama-sama kekasihnya di dalam kubur. Ia akan membiarkan kekasihnya tinggal seorang diri di dalam kubur.

Lalu aku terus berfikir, dan akhirnya aku membuat kesimpulan bahawa sebaik-baik kekasih ialah kekasih yang setia mengiringi kekasihnya sehingga ke dalam kubur, dan menjadi penghibur dan teman setia, dan tidak ada kekasih yang bersedia untuk itu, selain dari amal soleh. Maka aku terus menjadikan amalan soleh itu sebagai teman dan kekasihku, supaya ia dapat menerangi kuburku, dan menghibur hatiku, dan sudah pasti ia tidak akan membiarkanku duduk sendirian.

Faedah kedua

Sesungguhnya aku sentiasa melihat seluruh makhluk itu sentiasa mengikuti kehendak nafsu mereka, dan bersegera menunaikan apa jua kehendaknya. Lalu aku memikirkan firman ALLAH;

Dan adapun orang-orang yang takut akan berdiri di hadapan Tuhannya (pada hari kiamat), dan menahan nafsunya dari keinginan, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya. (surah an-Naazi’at; 79:40-41)

Daripada pemikiranku terhadap ayat ini maka timbul satu keyakinan di dalam hatiku bahawa Al-Quran itu adalah benar, dan nafsu itu mesti dimusuhi.

Lalu akupun menjadikannya sebagai musuh dan berjuang untuk menentangnya, dan aku tidak memanjakannya sehingga ia tunduk kepadaku dan merasa puas hati dengan tugasnya untuk taat dan beribadah kepada ALLAH.

Faedah ketiga

Sesungguhnya aku melihat setiap orang berusaha untuk menghimpunkan harta benda dunia dengan sebaik-baiknya. Kemudian ia menahan (harta tersebut) dan tidak mahu mendermakannya. Lalu aku merenungkan akan firman ALLAH;
Apa-apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa-apa yang ada di sisi ALLAH adalah kekal. (surah an-Nahl; 16:96)

Lalu aku terus suka untuk mengorbankan apa jua yang aku dapatkan dari harta benda dunia , dan aku suka membahagikannya dalam kalangan fakir miskin, supaya harta itu menjadi pahala yang tersimpan di sisi ALLAH.

Faedah keempat


Sesungguhnya aku melihat sebahagian dari makhluk ini ada yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungannya itu adalah terletak pada banyaknya kaum dan pengikutnya. Lalu ia tertipu dengan cara berfikir seperti itu.

Dan ada pula sebahagian mereka yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan tersebut terletak pada banyaknya harta benda dan anak buah, lalu ia merasa sombong kerana yang demikian itu. Bahkan ada pula yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu berpunca dari kemampuan merampas hak orang lain, menzalimi mereka dan menumpahkan darah mereka. Dan ada juga yang menyangka kemuliaan dan keagungan itu berpunca daripada banyaknya membuang-buang harta dan melakukan pembaziran, dan keterlaluan dalam berbelanja.

Lalu aku memikirkan firman ALLAH;
Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi ALLAH ialah yang paling bertaqwa. (surah al-Hujurat; 49:13)

Maka akupun memilih jalan taqwa untuk mendapat kemuliaan, dan aku yakin dengan sepenuh hati bahawa apa-apa yang disebutkan dalam al-Quran itulah yang benar, dan sangkaan-sangkaan mereka yang aku sebutkan tadi, semuanya adalah batil dan palsu belaka.

Faedah kelima

Sesungguhnya aku melihat ramai orang yang maki-memaki dan umpat-mengumpat. Dan aku dapati hal ini berpunca dari sifat hasad dalam memiliki harta, kedudukan atau ilmu. Lalu aku memikirkan firman ALLAH;

KAMIlah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia. (surah az-Zukhruf; 43:32)

Dan akupun memahami bahawa pembahagian segala nikmat itu adalah daripada ALLAH sejak dari alam azali lagi. Kerana itu aku tidak pernah hasad kepada sesiapa, dan aku merasa puas hati dengan pembahagian yang telah dilaksanakan oleh ALLAH.

Faedah keenam

Sesungguhnya aku melihat manusia itu satu sama lain saling bermusuhan kerana sesuatu tujuan atau sebab. Lalu aku memikirkan akan firman ALLAH;
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kalian, maka jadikanlah dia sebagai musuh. (surah Fathir; 35:6)

Maka aku membuat kesimpulan bahawa tidak perlu kita bermusuhan dengan sesiapa kecuali dengan syaitan.

Faedah ketujuh

Sesungguhnya aku melihat setiap orang bersungguh-sungguh dan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mencari makan dan sumber kehidupan, dan terkadang ia terpaksa mengambil yang syubhat dan yang haram. Ia terpaksa menjual harga dirinya dan air mukanya. Lalu aku memikirkan tentang firman ALLAH;

Dan tidak ada sesuatupun yang melata di atas muka bumi, kecuali semuanya dijamin ALLAH rezeki mereka. (surah Hud; 11:6)

Maka akupun mengetahui bahawa rezekiku di tangan ALLAH dan telah dijamin olehNYA. Lalu aku hanya sibuk mengerjakan ibadah kepadaNYA, dan aku putuskan segala harapanku dengan selain dariNYA.

Faedah kelapan


Sesungguhnya aku melihat setiap orang ada memiliki sesuatu yang menjadi pegangannya. Sebahagian mereka menjadikan dinar dan dirham sebagai pegangan, dan yang lain menjadikan harta dan kerajaan sebagai pegangan. Dan ada pula yang menjadikan kemahiran atau pekerjaan sebagai pegangan, bahkan ada yang menjadikan hamba ALLAH yang lain sebagai pegangan. Lalu aku memikirkan firman ALLAH;

Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka DIA akan mencukupkannya. Sesungguhnya ALLAH telah mempersampaikan segala urusannya. Dan sesungguhnya ALLAH telah menjadikan bagi setiap sesuatu itu kadar yang telah ditentukan. (surah at-Tolaq; 65:3)

Maka aku pun terus bertawakkal kepada ALLAH, maka ALLAH mencukupkanku dan ALLAH itu adalah sebaik-baik tempat berserah diri.”

Lalu Syaqiq al-Balkhi berkata, “Semoga ALLAH sentiasa memberi taufiq kepadamu. Sesungguhnya aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran. Maka aku mendapati isi keempat-empat kitab ini adalah berkisar pada membahas lapan masalah yang engkau sebutkan tadi. Dan sesiapa yang beramal dengannya, maka sebenarnya ia telah beramal dengan keempat-empat kitab yang aku sebutkan tadi.”

Dipetik dari: Ayyuhal Walad: Wahai Anakku; Imam al-Ghazali

 
Siapa ditalian
4 user(s) are online (1 user(s) are browsing Kandungan)

Members: 0
Guests: 4

more...
RUANGAN IKLAN
Ruangan Iklan untuk tempahan.
Sila hubungi Ustaz Alias di email:
admin@mkgraja.com
Ahli Baru
subhanmydin 2015/8/15
asraf
asraf
2014/2/18
bilal2 2014/2/5
dinmehat
dinmehat
2014/1/15
rafai
rafai
2014/1/15
Themes

(3 themes)